Pembahasan ini telah dibicarakan secara terperinci dan hingga ke dasarnya di dalam ilmu Usul Fiqh. Ilmu ini amat penting bagi mereka yang benar-benar mendalami dasar-dasar pembinaan hukum Islam. 
Taklid ialah: Mengikut pendapat seorang mujtahid tanpa mengetahui sumber dan cara pengambilannya. Seperti seseorang itu mengikut pendapat Imam SyafiI tanpa mengetahui dalilnya atau hujahnya. Orang seperti ini disebut muqallid.
Apa hukum bertaklid?


Hukum-hakam amaliyah dapat kita bahagikan kepada 2:
1. Hukum-hakam yang dapat diketahui tanpa memerlukan penelitian dan ijtihad. Iaitu hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh dalil yang qathI dan yang dapat diketahui dengan segera. Ia disebut sebagai `al-malum minad din bid-dharurah. Contohnya ialah hukum tentang kewajipan sembahyang lima waktu, kewajipan puasa bulan ramadhan, bilangan rakaat dalam sembahyang dsbnya. Ini semua dapat diketahui oleh semua umat Islam. Pengetahuan tentang hukumnya tidak memerlukan kepada penelitian terhadap dalil-dalilnya.
Dalam maslaah ini, seseorang itu tidak dibenarkan bertaklid, kerana semua orang dapat mengetahuinya.
2. Hukum-hakam yang memerlukan penelitian dan ijtihad. Masalah-masalah yang berada di bawah kategori ini amat banyak sekali. Seperti masalah yang hukum menyentuh perempuan ajnabi, apakah batal wuduk? Ini adalah masalah yang termasuk di dalam kategori ini. Sebab, masalah ini memang ada dalilnya dari al-Quran. Tetapi dalilnya perlu diteliti terlebih dahulu untuk diketahui Apakah hukum yang boleh dikeluarkan darinya. Dalam penelitian dan kajian ini, sudah semestinya terjadi perselisihan pendapat. Mazhab-mazhab dan perbedaan-perbedaan pendapat di kalangan ulamak terjadi dalam dalam masalah yang seumpama ini.
Orang yang berusaha meneliti dalil-dalil, kemudian mengeluarkan hukum dari dalil berkenaan di namakan sebagai mujtahid. Antara mereka adalah seperti Imam SyafiI, Malik, Hanbali dll. Manakala mereka yang mengikutnya atau memakai hukum yang dikeluarkan oleh mujtahid disebut sebagai orang yang bertaklid. Perbuatan mengikut/memakai hukum berkenaan disebut sebagai bertaklid.
Dalam masalah inilah yang dibenarkan bertaklid.
Kebanyakkan ulamak Usul (Usul Fiqh) mengatakan bahawa mereka yang tidak berkeupayaan untuk berijtihad wajib mengikut dan mengambil pendapat atau fatwa dari para mujtahid (org yg berkeupayaan berijtihad).
 
Bertaklid kepada mazhab-mazhab
Mazhab-mazhab masyhur yang wujud hingga sekarang ini ialah mazhab SyafiI, Maliki, Hanafi dan Hanbali. Kita di Malaysia rata-rata bertaklid kepada mazhab Syafii.
Soalan: Apakah kita boleh bertukar kepada mazhab lain?
Jawab: Boleh. Kerana, apa bezanya SyafiI dan lain-lain mazhab di atas? Jika kita boleh bertaklid kepada mazhab SyafiI, ini bermakna kita juga boleh bertaklid kepada mazhab-mazhab lain.
Menurut Al-Amidi, Ibnu al-Najib dan Kamal al-Hummam, tidak wajib bertaklid kepada seorang mujtahid (mazhab) tertentu. Dalam satu masalah, mereka boleh beramal dengan mazhab ini, kemudian dalam masalah lain mereka beramal dengan mazhab lain.
Berdasarkan pendapat ini, jika kita bertaklid dengan mazhab SyafiI dalam satu-satu masalah, tidak semestinya kita mesti bertaklid dengan mazhab ini dalam semua masalah. Dibenarkan mengamalkan pendapat dari mazhab-mazhab lain.
Taklid yang diharamkan ialah:
1. Bertaklid kepada seseorang tanpa mengendahkan al-Quran dan Sunnah.
2. Bertaklid kepada seseorang yang tidak diketahui kemampuannya berijtihad.
 
Talfiq
Ialah mengikut pendapat satu-satu imam dalam satu-satu masalah, kemudian bertaklid kepada imam lain dalam masalah lain. Contoh, mengambil wuduk ikut cara Hanafi dan sembahyang ikut cara Syafii. Ataupun, pada hari ini dia bersembahyang ikut pendapat SyafiI dengan membaca Bismillah.., esoknya dia bersembahyang ikut pendapat Hanafi dengan tidak membaca bismillah.
Inilah yang dikatakan sebagai talfiq.
Kebanyakkan ulamak membahagikan talfiq kepada dua:
1. Mengambil pendapat yang paling ringan di antara mazhab-mazhab dalam beberapa masalah yang berbeza. Contoh: Berwuduk ikut Hanafi dan  sembahyang ikut Maliki.
Apa hukumnya? Menurut ulamak-ulamak ini, talfiq dengan cara begini adalah dibenarkan, kerana dia mengamalkan pendapat yang berbeza dalam dua masalah yang berbeza Wuduk dan sembahyang.
Talfiq begini dibenarkan dalam bidang ibadah dan muamalat sebagai keringanan dan rahmat dari Allah Taala terhadap umat Muhamad.
Dibenarkan juga mengambil pendapat yang paling ringan antara mazhab-mazhab dalam satu masalah. Ia diamalkan pada masa yang berlainan yang tidak bergantung satu sama lain.
Contoh, Ali berwuduk menurut syarat-syarat yang telah ditetap oleh Syafii. Pada waktu lain dia berwuduk menurut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Hanafi.
Talfiq seperti ini dibenarkan kerana wuduk pertama yang menurut syarat SyafiI telah selesai dan digunakan untuk satu-satu ibadah hingga selesai. Kemudian wuduk keduanya menurut Hanafi juga selesai dan digunakan untuk tujuan tertentu hingga selesai. Jelasnya ia dilakukan, sekalipun masalahnya sama tetapi dalam peristiwanya berbeza.
2. Mengambil pendapat yang paling ringan di antara mazhab-mazhab dalam satu masalah. Talfiq begini tidak benarkan.
Contoh, Ali bernikah tidak menggunakan wali kerana ikut Hanafi. Dia tidak memakai 2 saksi kerana mengikut pendapat Maliki.
Pernikahan seperti ini adalah batal/tidak sah.
 
Ittiba
Ialah menerima pendapat orang lain dengan mengetahui sumber atau hujahnya.
Ittiba adalah sebaik-baik cara menerima dan mengamalkan pendapat dari mujtahid.
 
Feqhul Muqaran
Yang sedang berkembang sekarang ini ialah Feqhul muqaran. Ia menjadi salah satu dari subjek di kuliah syariah al-Azhar.
Feqhul muqaran ialah membahaskan satu-satu masalah dengan mengambil semua pendapat ulamak yang ada dengan dalil-dalilnya. Kemudian ia didiskusikan secara ilmiah. Akhirnya ialah membuat rumusan, pendapat manakah yang paling kukuh dalil dan hujahnya (tarjih). Tarjih yang dilakukan tanpa terikat kepada mana mazhab fikah.
Feqhul Muqaran berbeda dengan muqaranah al-Mazahib yang terdapat sebelum ini, di mana para ulamak mengumpul semua pendapat dari semua mazhab yang ada bersama dalil-dalilnya. Kemudian ia dibincangkan. Akhir sekali ialah melakukan tarjih berdasarkan mazhab masing-masing. Jika yang melakukan perbandingan itu dari mazhab Hanafi, maka tarjih itu dilakukan berdasarkan mazhab Hanafi, begitulah seterusnya.
Sekarang kita dapat melihat feqhul muqaran ini terus berkembang dan semakin diterima oleh umat Islam. Antara yang bekerja keras memberi sumbangan dalam bidang ini ialah Dr Yusof al-Qardhawi, Dr. Wahbah al-Zuhaili, lujnah fatwa al-Azhar dan beberapa tokoh ulamak al-Azhar.
Banyak kebaikkan dari feqh ini ialah:
1. Dapat mengetahui dalil dan hujah dari semua pihak.
2. Menghindarkan fahaman taksub mazhab Dapat bertolak ansur dengan mereka yang berbeza pendapat dengan kita.
3. Dapat beramal dengan hati yang lebih tenang kerana hujahnya kukuh.
Bagaimana kita di Malaysia?
Memang, secara umumnya, dalam soal-soal fikah masyarakat Malaysia beramal dengan mazhab Syafii. Namun sudah tidak dalam semua cabang permasalahan. Ia lebih banyak tertumpu kepada soal-soal ibadah individu sahaja. Zakat? Sudah banyak yang tidak mengikut Syafii. Dalam soal-soal muamalat, adalah sukar seandainya jika kita mengikat diri kepada satu mazhab sahaja. Ini termasuk di dalam urusan-urusan perbankan Islam. Seandainya negara kita ini melaksanakan undang-undang Islam Mengikat diri kepada mazhab juga menjadikan keadaan amat sulit sekali.  
Contohnya, mengenai masalah zakat pendapatan. Jika mengikut pendapat SyafiI, sudah tentu tidak ada. Tetapi hasil dari penelitian beberapa ulamak abad ini, ia wajib dizakatkan. Bagaimana penerimaan masyarakat Malaysia? Semesti berbagai, terutamanya para ulamak tradisional. Setelah proses penerangan dan campurtangan pemerintah, akhirnya ramai di kalangan mereka yang menerimanya dengan dada yang lapang. Saya percaya, jika usaha begini terus dilakukan, semuanya akan menerima.
Ini membuktikan bahawa umat Islam di Malaysia ini boleh dan mudah menerima satu-satu pendapat sekalipun bertentangan dengan mazhab SyafiI jika kena caranya. Tapi, kalau silap gayanya, kita akan dijadikan sebagai musuh tradisi. Ini pernah terjadi kepada sebahagian golongan yang secara keras dan tegas, gemar memaksa-maksa umat Islam agar menerima pendapat mereka. Jika umat Islam tidak menerima, mereka akan cela dan bidahkan. Ini akan memberikan kesan yang lebih buruk lagi.